NGO India gesa Kementerian Pendidikan batalkan DLP

 -FMT, January 31, 2017.
 Kumpulan itu mempertikaikan bagaimana 47 sekolah Tamil layak melaksanakan DLP walaupun tidak memenuhi kriteria ditetapkan.
VIDEO INSIDE

DLPKUALA LUMPUR: Sebayak 30 NGO kaum India menubuhkan sekretariat untuk menyiasat 47 sekolah Tamil yang mendakwa berjaya melayakkan diri bagi Program Dwibahasa (DLP).

Jurucakap NGO, K Arumugam berkata kumpulan itu mahu Kementerian Pendidikan membatalkan DLP di sekolah Tamil.

“Kami mahu tahu bagaimana 47 daripada 524 sekolah Tamil di negara ini layak untuk melaksanakan DLP apabila mereka gagal memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Pendidikan,” katanya pada sidang media hari ini.

Arumugam berkata sekolah yang layak melaksanakan DLP perlu memenuhi 5 kriteria.

Beliau berkata, antara keperluannya ialah sekolah perlu menilai kompetensi guru, mempunyai sumber mencukupi, dapatkan kebenaran ibu bapa dan sekolah perlu memperoleh GPS 1.85 bagi kertas Bahasa Malaysia serta mendapat persetujuan penuh daripada Pertubuhan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Sekretariat menghubungi pihak sekolah untuk menyemak dan melihat jika mereka layak untuk DLP.

“Kami mendapat tahu tiada sekolah memenuhi syarat.”

Arumugam juga berkata mereka akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan minggu ini menggesa ia membatalkan DLP.

“Kami juga ingin tahu bagaimana Kementerian Pendidikan meluluskan DLP untuk sekolah?

Arumugam berkata, kanak-kanak sekolah akan menderita apabila ia dilaksanakan.

Dilaporkan tahun lepas sekolah di Malaysia yang menyertai program DLP diberi pilihan untuk mengajar Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Reka Bentuk dan Teknologi dalam Bahasa Inggeris atau Melayu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon dilaporkan berkata DLP dijangka akan dilaksanakan di 841 sekolah pada tahun ini.

Presiden Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) Rajaretinam Armuggan mendakwa DLP akan meminggirkan pelajar India dan mahu ia dibatalkan.

“Kami menggesa Kementerian Pendidikan menyiasat jika ibu bapa meminta DLP.”

Tambahnya Mipas tidak bersetuju dengan DLP dan pendirian mereka, pendidikan rendah perlu diajar dalam bahasa ibunda pelajar.